Friday, January 8, 2010

Jawapan Kepada Isu Penggunaan kalimah 'AllaH'

"Penggunaan nama Allah oleh penganut agama bukan Islam menjadi polemik hangat dalam negara ,menjadi lebih panas setelah Mahkamah membuat keputusan keizinan kepada pihak gereja katholik memakai perkataan Allah dalam penyebaran mereka kepada masyarakat umum, khususnya masyarakat yang hidup didalamnya Umat Islam, kerana menyentuh perasaan mereka, kerana Perkataan ALLAH sangat mulia disisi umat Islam.

Apa yang menghairankan sebelum ini pengamal ajaran kristian itu menyebut tuhan dengan bahasa mereka masing-masing.

Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan Allah dari kitab suci mereka (Al Quran) yang tidak diterjemahkan lagi kedalam bahasa masing-masing, kerana perkataan ALLAH tidak mampu diterjemahkan kedalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al Quran.

Adakah ia boleh dibenarkan begitu sahaja diatas konsep kebebasan beragama?, sedangkan kebebasan secara saksama mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah yang mencetuskan perkara yang merosakan hubungan sesama manusia .

Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Perlu difahami adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain mengikut makna perkataan Allah yang tepat dengan maksudnya dari segi bahasa Arab yang terus digunakan oleh umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa dengan tetap berpegang kepada makna dan maksud perkataan Allah?

Atau mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya sehingga menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini .

Perkataan Allah disebut oleh orang arab atau pengguna bahasa arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut yahudi, kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala .

Al Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agma itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah Dalam surah Al-Ankabut ayat 61 dan 63 bermaksud

61. Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?.

63. Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah dalam surah Al-Luqman ayat 25 bermaksud

25. Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 38 bermaksud

38. Dan demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

Firman Allah dalam surah Az-Zukhruf ayat 9 dan 87 bermaksud

9. Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:" siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui".

87. Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka Bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

Ayat-ayat tersebut diatas mendedahkan bahawa orang-orang yang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan Yang Bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (Adanya Tuhan Pencipta Alam) hanya sekadar itu, namun kepercayaan mereka tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al Quran, apabila mereka memaksa diri menggunakan perkataan Allah , padahal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti GOD, LORD dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka tidak tepat dengan maksudnya .

Kita tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah mengikut ajaran dan bahasa kita, walaupun mereka percaya kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara.

Kalangan penganut kristian dengan kepercayaan Trinity (Tiga Tuhannya) dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang maha Esa dan Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang maha Esa (Al Asma Al Husna).

Imam Al Baihaqi menulis dalam kitabnya ( Al Asma Wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu baginya (sama ada dinamakan bapa , anak dan apa sahaja) .

Allah mengikut bahasa arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadanya .

Perkataan ALLAH itu daripada perkataan AL-ILAH dengan menambah AL kepada perkataan asal ILAHyang bermakna Tuhan secara umum .

Apabila di letakkan Alif dan lam (AL) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian di mudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf maka, di sebut ALLAH.

Penambahan Al dalam bahasa arab bertujuan makrifah (yang di kenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu berbilang Tuhan” .

Al Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah S.A.W. tanpa melarang mereka menyebut, tetapi memberi penjelasan secara ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat .

Apabila Rasulullah S.A.W. menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah :

64. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami Dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali-Imran ayat 64)

Perutusan Rasulullah S.A.W. mendedahkah bagaimana golongan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut Perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran Tauhid, (mengesakan Allah) tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan–tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (paderi-paderi) dan pemimpin-pemimpin (Arbab) yang mencipta undang–undang dan hukum yang menentang hukum Allah saperti menghalal apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada Rasul mereka sendiri atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah dikalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita.

Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan aqidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan ALLAH sekadar mengubah jenama melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh diizinkan sekali-kali, kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci Kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang di amal oleh umat Islam, seterusnya dikira menodai kesucian dan kemurnian Kalimah ALLAH dihadapan umat Islam.

Iman ‘Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah , dengan apa nama sekalipun:

كلمة حق أريد بها باطل

(Kalimahnya benar , tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah ALLAH adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan ditengah masyarakat umat Islam sangat menyentuh sensitiviti Umat Islam, sehingga menggerakkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO) fahaman politik dan individu, bersatu mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah ALLAH boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk.

Al Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah .

Firman Allah dalam surah Al-An'am ayat 108 bermaksud

(108. Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.

Demikianlah kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Thursday, December 17, 2009

TahniaH Buat Skuad Bola Sepak Negara!!

Skuad bola sepak bawah 23 negara mencipta sejarah Sukan SEA apabila menang emas pertama selepas kali terakhir dilakukan 20 tahun lalu.

Jaringan gol sendiri pemain Vietnam selepas tolakan Norshahrul Idlan Talaha memberikan peluang untuk Malaysia memperoleh emas dalam acara akhir bola sepak lelaki Sukan SEA XXV.

Kali terakhir skuad negara menang emas ialah di Temasya Kuala Lumpur 1989.

YaY!! Tahniah.. Tahniah.. TahniaH..... Hadiah kepada Negara BerseMpeNa taHun Baru HijraH..

Saturday, December 5, 2009

KeM ReMaJa UngguL (KRU)


Selaku urusetia yang menguruskan bahagian Publisiti dan Hebahan, sukacita saya mengajak pelajar-pelajar lepasan SPM/STPM dan STAM khususnya, ke program "Kem Remaja Unggul (KRISTAL '09)" yang dianjurkan oleh Yayasan Dar Al-Quran, Temerloh. Program ini bertujuan :
  • mendedahkan kepada peserta dunia kampus sebenar
  • sebagai persediaan kepada peserta menghadapi cabaran dan dugaan di universiti
  • membantu peserta memilih universiti yang sesuai dengan kursus pilihan mereka

Dengan bertemakan "MELANGKAH MENUJU MASA DEPAN DENGAN PASTI", program mengajak remaja Islam mengenal IPT ini akan diadakan sepertimana ketetapan berikut :

Tarikh : 18-20 Disember 2009

Tempat : Sekolah Islam Al-Irsyad, Kuantan

Yuran : RM30

Untuk pendaftaran boleh menghubungi

Nazrul, pengarah program ( 014-8403658), Adibah, S/U program (019-9308783), Asyraf, Publisiti (014-8408128)

Thursday, November 19, 2009

PROGRAM CUTI SEKOLAH..

ASSALAMUALAIKUM..
Perhatian buat semua Pengunjung Blog Akademi Ar Rasyidin...
Bersempena Cuti Sekolah ini, Akedemi Ar-Rasyidin akan menganjurkan beberapa program ilmiah khas untuk pelajar-pelajar sekolah yang akan bercuti tidak lama lagi. Program ini juga diadakan sebagai mengisi kekosongan masa, pada musim cuti nanti. Insyaalllah.


Antara program-program berikut adalah:

1.Program Kelas Al-Quran( Sempena Cuti )
2.Program Kelas Al-Quran( Pengajian Berterusan )
3.Kelas Fardu Ain ( Sempena cuti )

Diharap kepada semua ibubapa dapat mengambil peluang ini bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pengisian yang bermanfaat pada musim sekolah..

Hubungi Segera :
- Farid : 0199245739
- Nasrul : 0139739868

Monday, October 5, 2009

Tanggungjawab Besar Ahli Gerakan Islam.. SedarkaN UmmaH!!

Kedatangan para anbiya di muka bumi ini adalah untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT, sama ada yang berupa arahan/perintah-Nya, hukum-hakam yang termaktub dalam al-Quran di mana pada akhir-akhir ini ia hanya jadi bahan bacaan semata-mata tetapi tidak dilaksanakan. Kesungguhan para anbiya melaksanakan segala titah perintah Allah walau menghadapi segenap bentuk tribulasi adalah menjadi lumrah dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT, atau ia dikenali dengan istilah asam garam dalam berdakwah.

Tujuan dakwah adalah bagi memastikan agar ummah berada pada tahap penerimaan segala ajaran Islam sebaik mungkin, iaitu melaksanakan perintah Allah pada masa yang sama meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya bagi meraih sebenar-benar takwa kepada-Nya.
Kisah perjuangan para anbiya dalam menjalankan tugas sebagai para utusan daripada Allah diabadikan dalam al-Quran agar ia menjadi rujukan dan inspirasi kepada ummah hari ini untuk menjalankan tugas masing-masing sebagai golongan hamba Allah yang berhak meraih pahal sekali gus dijanjikan syurga Allah pada hari akhirat. Ia diakhiri dengan Sirah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul terakhir yang membawa kebenaran daripada Allah SWT menghadapi makhluk perosak yang sengan menghalang kemaraan kebenaran dengan pelbagai kaedah dan cara bagi memastikan ia tidak dapat sampai memasuki ruang hati-hati manusia ketika itu.

Sesungguhnya apa yang ditonjol dan ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah satu sunnah dan tanggungjawab yang ditinggalkan kepada ummah ini seperti yang difirmankan oleh Allah menerusi ayat 104 surah Ali Imran yang bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

Ayat di atas dengan jelas menuntut orang yang beriman menjalankan tugas dakwah dengan menyampaikan ajaran Islam kepada ummah khususnya umat Islam hari ini yang banyak disogokkan dengan unsur-unsur cara hidup yang negatif hingga terdapat di kalangan mereka yang masih belum mengenal Islam dengan baik seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Sirah Rasulullah menjadi pegangan dan rujukan kepada golongan pendakwah/dai'e kerana ia adalah sumber pelaksanaan Islam secara praktikal, ia terbukti bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. mempraktikkan Islam dalam bentuk pentadbiran sebuah negara Islam di kota Madinah, begitu juga dengan hal-hal yang lain seperti aspek kejiranan, kemasyarakatan, perekonomian, politik dan lain-lain, kesemuanya dibuktikan secara praktikal. Pada masa yang sama, kerja-kerja dakwah tidak terlepas daripada menerima segala macam ujian bagi mematangkan tahap emosi, tekanan diri, tidak mudah berputus asa, bersedia menerima tohmahan yang direka-reka oleh mereka yang tidak senang dengan Islam walaupun ia datang daripada mereka yang bernama Islam.

Menurut Ustaz Mustafa Masyhur dalam risalahnya bertajuk 'Zad ad-Du'ah' / 'Bekalan para pendakwah' ada menegaskan, bahawa mana-mana individu yang mewarisi kerja-kerja dakwah seperti yang ditampilkan oleh baginda Rasulullah mesti melalui ujian sama ada dilabelkan dengan pemecah belah masyarakat, pengganas dan lain-lain, ia tidak lebih daripada menguji tahap kecergasan minda dan sanubari dan mematangkan kesungguhan untuk terus berdakwah. Apa yang disebut oleh Ustaz Mustafa ada kebenarannya, kerana untuk meraih syurga Allah SWT bukanlah satu perkara yang mudah, ia terpaksa dilalui dengan ujian yang pernah disabdakan oleh baginda Rasulullah dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Golongan paling dahsyat menerima ujian Allah adalah para anbiya dan kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama/pendakwah)."

Keadaan ummah hari ini

Apa yang dapat disaksikan pada hari ini ialah, keadaan ummah hari boleh disifatkan sebagai separuh tenat, khususnya dari sudut kefahaman mengenai agama Islam itu sendiri. Terdapat masih ramai lagi ummah yang tidak mengenal Islam pada bentuk yang sepatutnya mereka perlu tahu.

Persoalan majlis perkahwinan yang masih kabur pelaksanaannya, hubungan ipar duai dari sudut aurat dan adab, penglibatan dalam aspek sukan, hiburan melampau dan banyak lagi yang memperlihatkan kecetekan cara berfikir mereka lantaran tidak duduk dalam majlis-majlis ilmu agama. Pada masa sama mereka jadi juara dalam mengendalikan program-program hiburan dengan pengendalian yang cukup mantap, tetapi ia berlaku pada urusan yang bersifat keagamaan.

Remaja-remaja perempuan yang mendedahkan aurat begitu berleluasa khususnya di kalangan anak-anak orang Islam. Ia bagaikan mereka seolah-olah tidak mempunyai kedua ibu bapa yang sepatutnya menasihati mereka, membonceng motosikal dengan penunggang lelaki ke hulu dan ke hilir tanpa matlamat hidup yang jelas.

Justeru, bagi ahli-ahli gerakan Islam, ia merupakan satu tugas besar serta tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Kerahan tenaga perlu digiat dan dilipat-gandakan bagi menyelamat mereka yang telah tersasar matlamat hidup mereka yang sebenar, kelas-kelas fardu ain perlu juga digandakan peranannya dan mencari kaedah bagaimana ummah/masyarakat berminat untuk datang mendengar kuliah, ceramah, forum dan sebagainya dengan menggunakan bahan teknologi terkini bagi menarik perhatian mereka.

Jika tugas dakwah tidak disampaikan, dikhuatiri ummah akan hanyut dalam arus kebendaan yang menjanjikan seribu pembohongan untuk berjaya, kerana kejayaan sebenar adalah menyampaikan 'amar makruf nahi mungkar' seperti dijelaskan dalam ayat di atas.
Sahutlah para pendakwah daripada kalangan ahli gerakan Islam, seruan Allah menerusi ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud:

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."

Kita tidak akan mencapai status ummah yang baik melainkan dengan menjalankan tugas menyelamatkan manusia melalui program amar makruf nahi mungkar, kerana ia adalah program yang diperakui oleh Allah berbekalkan pengetahuan mendalam mengenai ilmu-ilmu alat seperti Sirah, ulum al-Quran, fiqh, akidah, mantiq, tafsir, hadis dan lain-lain. Para pendakwah berusaha untuk merintis jalan mempelbagaikan teknik dakwah yang mudah sampai kepada golongan sasaran yang akhirnya meyakinkan mereka bahawa Islam adalah agama yang memimpin manusia ke jalan kebenaran untuk mendapatkan rahmat Allah sekali gus disediakan bagi mereka tempat yang kekal abadi di dalam syurga.

"Bersiap Kearah KeMeNangan"

Sunday, October 4, 2009

Program Selesai!!

Kem Kepimpinan Perdana Pelajar Kamsis Siri-1, 2009.
Tempat : Amansari Beach Resort, Pantai Sepat, Kuantan.
Tarikh : 2, 3 dan 4 Okt 2009

Penganjur : Jawatankuasa Felo-Felo Kamsis.
Pengelola : Akademi Ar Rasyidin Ent.

Alhamdulillah.. Atas izin dan kehendak Allah s.w.t, Akademi Ar Rasyidin sekali lagi telah di beri kepercayaan untuk mengendalikan Kem Kepimpinan siri-1 anjuran Jawatankuasa Felo-Felo Kamsis Polisas. Pertamanya jutaan terima kasih kami rakamkan kepada pihak penganjur dan jutaan ucapan tahniah kepada semua barisan peserta yang terpilih serta terlibat secara langsung dalam kem kepimpinan perdana siri-1 ini.

Peserta siswi bergambar kenangan bersama barisan felo-felo dan fasilitator selepas majlis penutupan program.

Peserta program ini adalah terdiri daripada semua Ahli Majlis Tertinggi Kamsis dan jumlah semua peserta yang menyertai adalah seramai 58 orang pelajar. Aktiviti yang dijalankan pula merangkumi 70% aktiviti luar dan 30% aktiviti dalaman.

Fasilitator sedang memberi taklimat untuk modul Latihan Dalam Kumpulan (LDK).

Barisan-barisan fasi yang terlibat dalam menjayakan program.

Akhirnya, kami selaku pihak pengelola dengan rendah dirinya memohon beribu kemaafan kepada semua barisan peserta atas kelemahan, kedaifan dan kekurangan yang terdapat disepanjang perjalanan program ini. Semoga para peserta dapat mengambil manfaat serta mengaplikasikan segala yang baik hasil dari modul-modul yang berguna untuk memimpin siswa & siswi di kamsis Polisas. Selamat Maju jaya di ucapkan pada semua!!

"Bersiap Menuju Kemenangan"

Monday, September 14, 2009

Amal Kerana Allah.

Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam.. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat, para alim ulamak dan seluruh aktivis-aktivis Islam di seluruh dunia.

Kelmarin 13 Sept 2009 (bersamaan 23 Ramadan) Unit Amal Kaw Indera Mahkota telah berjaya melangsungkan Aktiviti Bulanan (bersempena ramadan) dengan jayanya melibatkan 30 anggota Unit Amal dengan tujuan "beramal" kepada masyarakat setempat.

Aktiviti kami bermula dari awal pagi lagi sekitar jam 9.00 dengan acara menyiapkan bubur lambuk untuk diagihkan kepada masyarakat sekitar Beserah dan Balok pada sebelah petangnya.

Selepas waktu zuhur, kami kemudian berangkat ke beberapa buah taman sekitar Balok Permai untuk menyampaikan sumbangan kepada beberapa keluarga yang daif serta ibu-ibu tunggal yang dikenalpasti tinggal di kawasan berkenaan.

sumbangan telah disampaikan oleh Pengarah Amal Kaw IM kepada keluarga yang terlibat.

Selesai saja solat terawih.. Ceramah Ramadan pula diadakan bertempat di Pentas Utama PUTRA yang mana menampilkan tokoh-tokoh Pemuda iaitu Al-Fadhil Ustaz Nasarudin Tantawi, Ustaz Azman Syafawi Dan Ustaz Suhaimi Saad. Majlis mendapat sambutan yang cukup mengalakkan dan kemantapan para penceramah mendapat pujian daripada hadirin yang hadir.. (setelah sekian lama.. Akhirnya.. Ustaz Din kembali tampil ke Pentas PUTRA)

Bergambar kenangan bersama Al-fadhil Ustaz Azman Syafawi.

Malamnya lepas habis ceramah (sekitar jam12), Tenaga dan khidmat kami diteruskan dengan Justify Fullmembantu Ustaz Nasarudin Tantawi mengangkat barang (almari, kerusi, meja, peti dll) dari rumah lama (Balok) untuk pindah rumah baru di Taman Bukit Pelindung. Walaupun orang lain tengah syok tidur... Kami anggota Amal masih riuh rendah mengangkat perabot-perabot untuk dipindahkan..

walaupun mengantuk.. tapi semua menjadi ceria semula bila bergambar.. hehe

Harta-harta 'ghanimah' yang berjaya dikumpulkan oleh petugas Amal.. Siap untuk Dibahagikan!! haha..

dari kiri (berdiri) : din, amar, apis (mesra disisi amar), joe, dan sham.
dari kiri (duduk) : ijan, aris, yen, Sheikh Azlan, Ustaz din dan penulis.


Alhamdulillah.... aktiviti kami selesai jam 3.00 pagi... masing-masing pulang dengan rasa penat+ngantuk tapi Puas... Sebab dihidangkan sahur oleh ustaz din sekeluarga.. Jazakallah.

"wahai orang-orang beriman, bertaqwalah pada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepadanya.. dan berjihadlah (berjuanglah) dijalannya, agar kamu beruntung"
(Al-Ma'idah: 35)

"Hidup Indah, Jika Segalanya Untuk Islam"

Allahuakhbar!!